b) Berikan contoh aplikasi pembelajaran sosial dalam
kehidupan seharian?
Los Angeles (Isnin):
Seorang wanita telah membunuh anaknya dan mencampak mayat itu daripada tingkat atas sebuah bangunan. Kemudian, wanita itu telah cuba membunuh diri dengan melompat daripada bangunan itu tetapi beliau tidak mati dan berada dalam keadaan tenat.
Chicago (Rabu):
Seorang wanita telah membunuh tiga anak kecilnya dan membuang mayat mereka ke dalam sebuah telaga. Wanita itu cuba membunuh diri dengan melompat ke dalam telaga itu tetapi dapat diselamatkan.
Adakah peristiwa-peristiwa ini berkaitan atau dua berita berasingan? Kerap kali kita mendengar atau membaca kes-kes luar biasa dan ngeri berlaku, dan tidak lama kemudian peristiwa yang hampir sama berlaku di tempat lain. Ada pendapat yang mengatakan salah satu sifat manusia ialah untuk MENIRU (imitate) tingkahlaku atau tindak tanduk orang lain. Ketara sekali dikalangan kaum remaja. Apabila seorang penyanyi atau jaguh sukan terkenal memotong rambutnya, peminat-peminatnya juga mengikut dengan rambut pendek dan juga yang botak.
Pembelajaran Sosial atau Pembelajaran Pemerhatian mencadangkan bahawa seorang individu meniru tingkahlaku yang diterima masyarakat (socially accepted behaviour) dan juga tingkahlakku yang tidak diterima masyarakat. Tingkahlaku yang diterima:
a) berbeza antara satu budaya dengan satu budaya yang lain,
b) berbeza antara individu,
c) berbeza menurut situasi.
Dengan demikian, pembelajaran sosial tidak hanya melibatkan mempelajari tingkahlaku yang diterima tetapi juga tingkahlaku tidak diterima. Ini adalah sama dengan proses generalisasi dan diskriminasi yang diutarakan oleh Skinner.
Albert Bandura 1925 -
Kajian I: Kanak-Kanak Meniru Tingkahlaku Agresif:
oleh Bandura (1962) dan Bandura, Ross & Ross (1963)
Subjek terdiri daripada kanak-kanak pra sekolah. Subjek dalam kumpulan eksperimental didedahkan kepada model manusia sebenar, katun atau model dalam filem yang terlibat dengan tingkahlaku agresif terhadap patung (doll) plastik yang besar. Subjek-subjek itu mungkin memukul dengan kayu, menendang atau menumbuk patung plasktik itu. Manakala dalam kumpulan kawalan, subjek melihat model-model yang sama tidak melakukan apa-apa pun terhadap patung plastik. Hasil kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak dalam kumpulan eksperimental mempamerkan tingakahlaku agresif apabila dibiarkan bersama patung plastik berkenaan.
Kajian II: Indivudu Meniru Tingkahlaku Agresif Yang Diberi Ganjaran oleh Bandura (1963)
Dalam lagi satu kajian, kanak-kanak dalam kumpulan eksperimental melihat model yang berkelakuan agresif diberi ganjaran manakala model yang subjek kumpulan kawalan melihat tidak mempamerkan tingkahlaku agresif. Hasil kajian menunjukkan bahawa kanak- kanak dalam kumpulan eksperimental memiliki sifat-sifat agresif yang lebih ketara berbanding dengan kanak-kanak dalam kumpulan kawalan (lihat graf di atas).
Apakah kaitan antara keganasan di TVdan tingkahlaku kanak-kanak?
Langkah-Langkah dalam Proses Pemodelan
Untuk pembelajaran pemerhatian wujud adalah penting untuk individu berkenaan berbuat demikian:
1) Tumpuan ('Attention')
Subjek harus memberi tumpuan kepada tingkahlaku model
untuk membolehkannya mempelajarinya. Sama ada subjek
memberi perhatian atau tumpuan tertakluk kepada nilai,
harga diri , sikap, dll yang dimiliki. m.s. seorang pemain
musik yang tidak yakin diri mungkin meniru tingkahlaku
pemain musik terkenal sehingga tidak mewujudkan stailnya
yang tersendiri.
Bandura & Walters (1963) dalam buku mereka "Social
Learning & Personality Development" menekankan
bahawa hanya dengan memerhati seorang lain pembelajaran
boleh berlaku. (baca eksperimen yang dijalankan disebelah).
2) Penyimpanan ('Retention')
Subjek yang memerhati harus mengenkod peristiwa itu
dalam sistem ingatannya. Ini membolehkan subjek melakukan
peristiwa itu kelak bila diperlukan atau diingini.
3) Penghasilan ('Reproduction')
Setelah mengetahui atau mempelajarai sesuatu tingkahlaku,
subjek juga mesti mempunyai kebolehan mewujudkan atau
menghasilkan apa yang disimpan dalam bentuk tingkahlaku.
m.s. memandu kereta, bermain tenis. Bagi sesetengah
tingkahlaku kemahiran motor diperlukan untuk mewujudkan
komponen-komponen tingkahlaku yang telah
diperhatikan.
4) Motivasi
Juga penting ialah untuk sujek berkenaan mempunyai sebab
dan keinginan untuk meniru.
Bagaimanakah kita meniru sesuatu model:
1) Model Secara Langsung - m.s. di sesetengah budaya kanak-kanak perempuan meniru kerja-kerja yang dilakukan oleh ibu dengan tujuan mengambil alih tugas seorang ibu kelak. Juga kanak-kanak meniru rakan sebaya atau adik-beradik mereka.
2) Model Simbolik - kita meniru apa yang kita lihat atau perhatikan dalam buku, gambar, katun, TV, filem dan pelbagai media masa lain. m.s. pada tahun 80an lelaki di Malaysia meniru memakai kasut tumit tinggi setelah menonton filem 'Saturday Night Fever' apabila melihat pelakon utama John Travolta memakai kasut seperti itu.
Mengapa Manusia Meniru?
Orang meniru kerana apa yang dilakukan membawa kepuasan atau ganjaran, iaitu Peneguhan. Bagaimana peneguhan wujud?
1) Peneguhan Secara Langsung - Individu mendapat ganjaran seperti pujian kerana dia meniru sesuatu tingkahlaku yang diperhatikan. m.s. budak yang meniru sebutan bapanya kerana dia dipuji dan mengulangi tingkahlaku tersebut.
2) Peneguhan Kendiri - Individu meniru bukan kerana ingin dipuji tetapi kerana ingin mencapai cita-citanya sendiri. m.s. seorang pelajar meniru cara Watson Nyambek lari bukan untuk dipuji oleh jurulatihnya tetapi untuk membuktikan kepada dirinya bahawa dia pun boleh lari sama pantas dan ini memberi kepuasan kepadanya.
3) Peneguhan Vikarius - Individu mendapat kepuasan secara tak langsung dengan meniru. Individu yang perhatikan bahawa orang lain mendapat kepuasan atau ganjaran kerana meniru model, juga berbuat demikian kerana ingin mendapat peneguhan yang sama. m.s. pelajar perhatikan rakannya dipuji oleh guru kerana menyelesaikan tugasan dengan cepat mungkin pada masa akan datang akan berbuat demikian kerana dia jangka akan menerima pujian yang sama.