Module 3: Perspektif Behaviorisme dan Pembelajaran
Teori Pelaziman Operan (Skinner)
SOALAN:
a) Apakah pelaziman operan dan bagaimana ia
berbeza dengan pelaziman klasik?
b) Berikan contoh aplikasi prinsip pelaziman operan
dalam kehidupan seharian?
Burrhus F. Skinner
Skinner bermula pengajiannya dalam bidang biologi dan didedahkan kepada penulisan Watson dan Pavlov. Pada tahun 1931, dia memperolehi ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang psikologi dari Universiti Harvard. Skinner telah menjalankan berbagai kajian dan buku pertamanya The Behavior of Organisms ditulis pada tahun 1938 yang menghuraikan prinsip-prinsip utama pelaziman operan (operant). Perkataan 'operan' dicipta oleh Skinner yang membawa maksud bertindak ke atas. Pelaziman operan ialah apabila organisme menghasilkan sesuatu gerak balas kerana organisme itu mengoperat (atau operating) ke atas persekitarannya. Contohnya, seekor anjing akan menghulurkan kaki depannya sekiranya ia ketahui bahawa tingkahlaku itu akan diikuti dengan makanan. Begitu juga dengan seorang budak yang mengemaskan tempat tidur jika dia tahu dia akan dibelanja makan ais krim.
Perbezaan antara Pelaziman Operan dengan Pelazimam Klasik
Dalam pelaziman klasik, organisme tidak mengubah keadaan persekitan. Misal kata, anjing Pavlov tidak ada pilihan untuk bertindak dengan mengeluarkan air liur apabila diberikan makanan dan bunyi loceng. Manakala, dalam pelaziman operan, organisme mempunyai pilihan untuk bertindak atau tidak kerana gerak balasnya menentukan rangsangan (makanan) yang diberikan.
Prinsip-Prinsip Asas Pelaziman Operan
MenurutSkinner, pelaziman operan terdiri daripada dua konsep utama:
a) PENEGUHAN (reinforcement) yang terbahagi kepada
PENEGUHAN POSITIF dan PENEGUHAN NEGATIF.
b) DENDA (punishment)
Peneguhan Positif (Positive Reinforcement)
Apa jua rangsangan yang boleh menambahkan kebarangkalian sesuatu tingkahlaku itu akan berlaku disifatkan sebagai Peneguhan Positif.
Contoh:-
(1) Tikus yang menekan kunci pintu (lever) dan diberikan makanan akan mengulang tingkahlakku itu dengan harapan mendapat makanan.
(2) Seorang budak yang menyelesaikan kerja rumahnya dapat menonton TV akan mengulang tingkahlaku itu.
(3) Pekerja yang mencapai prestasi tinggi dalam kerjanya diberikan bonus. Adakah pekerja itu akan mengulang kelakuan berkenaan?
Perlu diingat bahawa sesuatu peneguhan boleh merupakan benda, sosial (seperti pujian) atau token (seperti markah ujian).
Peneguhan Negatif (Negative Reinforcement)
Apa jua rangsangan yang menyakiti atau yang mewujudkan keadaan tidak selesa boleh menambahkan kebarangkalian sesuatu tingkahlaku itu akan berlaku dipanggil Peneguhan Negatif. Organisme kemungkinan mengulang tingkahlaku yang dapat mengelak atau mengurangkan keadaan yang negatif.
Contoh:-
(1) Tikus yang dikejutkan dengan elektrik akan terus menekan alat yang dapat mengurangkan kejutan elektrik.
(2) Ibu akan mengangkat bayinya yang menangis kerana tidak tahan melihat dan mendengar anaknya memekik-pekik.
Denda (Punishment)
Apa jua rangsangan yang menyebabkan kebarangkalian sesuatu gerak balas atau tingkahlaku yang terhasil berkurangkan atau langsung dihapuskan.
Contoh:-
(1) Budak yang tidak membantu ibu tidak diberi peluang bermain bola (iaitu, mengentikan keseronokkan).
Berasaskan pelaziman operan, Skinner (1951) memperkembangkan teknik 'pembentukan' (shaping) bagi melatih haiwan menguasai tingkahlaku komplek yang juga relevan kepada tingkahlaku manusia. Teknik pembentukan terlibat dengan meneguhkan organisme setiap kali ia bertindak ke arah yang diingini sehingga ia menguasai atau belajar gerak balas berkenaan dan tidak lagi meneguhkan gerak balas itu lagi. Prosedur pembentukan boleh digunakan untuk mengawal tingkahlaku orang.
Contoh: Seorang pelajar yang sentiasa berjenaka dan menjadi pelawak dalam kelas. Perakuan rakan sebaya (peer approval) memperkukuhkan kelakuan pelajar berkenaan. Apabila pelajar-pelajar lain ketawa tentang apa yang disebut atau melakukan, dia digalakkan untuk terus berjenaka dalam kelas. Pelajar berkenaan mungkin tidak akan menjadi pelawak jika tiada siapa dalam kelas ketawa apabila diberjenaka.
Contoh: Apabila seorang memberi ceramah, reaksi pendengar dapat mempengaruhi bagaimana penyampai bertindak. Segolongan pelajar mengangguk kepala mereka dan ini telah menyebabkan pensyarah mereka bergerak dengan lebih cepat dalam kelas.
Generalisasi, Diskriminasi dan Penghapusan
Generalisasi: Peneguhan yang hampir sama dengan peneguhan asal juga boleh menghasilkan gerak balas yang sama.
Diskriminasai: Organisme bergerak balas terhadap sesuatu peneguhan tetapi tidak terhadap peneguhan lain.
Penghapusan: Gerak balas yang wujud akan berperingkat- peringkat terhapus apabila peneguhan atau ganjaran tidak diberikan lagi.
Jadual Peneguhan (Schedule of Reinforcement)
Berdasarkan kajian menggunakan tikus dan burung merpati, Skinner dapati bahawa cara peneguhan diberi boleh mempengaruhi gerak balas atau respons. Apakah hubungan di antara cara peneguhan diberikan dan gerak balas atau pembelajaran? Jadual Peneguhan yang diperkenalkan oleh Skinner hasil daripada kajian-kajian yang dijalankan mencadangkan dua cara peneguhan, iaitul Peneguhan Berterusan (Continuous Reinforcement) dan Peneguhan Berkala (Variable Reinforcement).
Peneguhan Berterusan: Setiap kali sesuatu gerak balas dihasilkan, organisme menerima ganjaran atau peneguhan.
Peneguhan Berkala: Ganjaran atau peneguhan diberi menurut kekerapan tertentu atau masa tertentu. Misalnya; ganjaran diberi menurut nisbah atau ganjaran menurut masa.
Menurut Nisbah
a) Nibah tetap ('fixed ratio') ialah apabila peneguhan diberikan setelah beberapa gerak balas berlaku. m.s. nisbah 20:1 ialah setiap 20 gerak balas yang wujud 1 peneguhan berikan.
b) Nisbah berubah ('variable ratio') ialah apabila peneguhan diberikan setelah beberapa gerak balas wujud tetapi kadarnya tidak tetap. m.s. kadang kala nisbahnya ialah 20:1 dan dalam keadaan lain nisbahnya ialah 10:1.
Menurut Masa
a) Masa tetap ('fixed interval') ialah apabila peneguhan diberikan pada akhir masa yang ditetapkan. m.s. jika masa yang ditetapkan ialah 1 minit; peneguhan diberikan kepada gerak balas yang wujud selepas 1 minit. b) Masa berubah ('variable interval') ialah apabila peneguhan diberikan pada akhir masa yang ditetapkan tetapi masa yang ditetapkan berbeza mengikut gerak balas yang wujud.